Lukisan kanak-kanak adalah berbeza dengan lukisan orang remaja mahupun dewasa. Kanak-kanak tidak banyak mengetahui dibandingkan remaja. Kanak-kanak melukis berdasarkan lingkungan pengetahuannya. Lukisan kanak-kanak merupakan pancaran pemikiran dan pengetahuan kanak-kanak. Ahli teori kognitif berpendapat bahawa 'kanak-kanak melukis apa yang diketahui bukan apa yang dilihat.
Contohnya kanak-kanak tidak melukis anggota badan yang tidak diketahui atau melukis langit dengan garisan berwarna biru di atas kepala orang sedang berdiri untuk menyatakan pemikirannya tentang langit. Apabila kanak-kanak meningkat kefahaman dan pengetahuannya
tentang alam, konsepnya semakin komplek dan meningkat jumlah konsepnya, lukisannya turut berubah dan semakin realistik menyerupai lukisan orang dewasa. Ketepatan, terperinci dan kerjanya semakin komplek berkaitan dengan pengetahuannya.
Kanak-kanak dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah semula jadi proses tumbesaran mereka. Hasil kerja seni visual yang dihasilkan berfungsi sebagai alat komunikasi dan merupakan refleksi pemikiran kanak kanak. Kanak-kanak yang pintar cerdas kebanyakannya mempunyai potensi yang tinggi dalam perkembangan dan pertumbuhan jika dibandingkan dengan seseorang yang normal. Pintar cerdas seringkali dikaitkan dengan seseorang yang mempunyai Intellectual Quotient (IQ) yang tinggi iaitu berada pada tahap IQ 130 dan ke atas.
Kamus Dewan edisi keempat telah mengistilahkan pintar sebagai cekap, pandai, banyak akal, cerdik, licin serta mahir dalam membuat sesuatu pekerjaan. Cerdas pula membawa bermaksud sempurna akal, cerdik, pandai serta pintar. Menurut Kamus Dewan edisi keempat, berbakat bermaksud mempunyai kebolehan semulajadi. Ini bermaksud kanak-kanak yang mempunyai bakat merupakan seseorang yang mempunyai kebolehan yang ada secara semulajadi.
Walaupun seseorang kanak-kanak itu dikenali sebagai pintar cerdas, kreatif dan berbakat, tetapi mereka tidaklah sentiasa berjaya dalam segala yang mereka lakukan. Kecerdasan serta bakat yang mereka miliki adalah terhad kepada beberapa bidang yang khusus sahaja. Kanak-kanak yang dilabelkan sebagai seorang yang pintar cerdas, kreatif dan berbakat mempunyai ciri-ciri tertentu. Ciri-ciri mereka sebagai golongan pintar cerdas jelas dapat dilihat dari aspek kognitif, akademik, fizikal, tingkah laku dan komunikasi.